Ulama pejuang dalam artikel ini nama lengkapnya ialah Haji Abdur Rahman Limbong
bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Qadir. Lahir tahun 1285 H/1868M, wafat di
Mekah, 1347 H/1929M. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu.
Haji Abdur Rahman Limbong juga seperti gurunya Tok Ku Paloh, iaitu seorang sufi
pengamal Tarekat Sammaniyah. Sungguhpun Haji Abdur Rahman Limbong seorang ahli
sufi, namun beliau juga bijaksana dalam seluk belok persoalan dunia.
Ini dapat dibuktikan dengan berkali-kali beliau berhujah di mahkamah kerana
membela rakyat yang disaman oleh pihak pemerintah Inggeris. Haji Abdur Rahman
Limbong adalah seorang sufi yang pernah menjadi peguam. Saya simpulkan saja
bahawa Haji Abdur Rahman Limbong perlu kita kenali, dalam dunia sufi tangannya
selalu bersih membilang-bilang buah tasbih.
Di mahkamah, lisannya fasih berkata-kata membela kebenaran yang disandarkan
kepada perintah Allah dan rasul. Bukannya membela undang-undang ciptaan manusia.
Di gelanggang medan laga pandai bermain senjata. Hidup di dunia ini tiada
sesuatu apa pun yang ditakutinya kecuali kemurkaan Allah kerana melanggar
perintah Allah dan rasul-Nya.
Haji Abdur Rahman Limbong mendapat pendidikan asas ilmu-ilmu Islam sejak kecil
di Mekah. Yang paling utama mencorak peribadinya ketika kanak-kanak ialah Haji
Tun Muhammad, salah seorang ayah saudaranya.
Ketika pulang ke Terengganu beliau mendapat pendidikan dari Haji Ya’qub dan Haji
Musa. Kedua-dua ulama itu tinggal di Paya Bunga. Selanjutnya yang membentuk
peribadi Haji Abdur Rahman Limbong menjadi seorang sufi dan pejuang jihad ialah
Tok Ku Paloh, ulama Terengganu yang terkenal.
Tok Ku Paloh juga adalah seorang pejuang (selengkapnya lihat judul Tok Ku Paloh
Al-Aidrus, Pejuang Islam dan Bangsa Melayu (18 September 2006).
Setelah menguasai ilmu yang padu dan memadai Haji Abdur Rahman Limbong aktif
mengajar masyarakat di Hulu Terengganu. Jika kita teliti kitab-kitab yang beliau
ajar meliputi beberapa disiplin ilmu.
Antaranya ialah al-Ajrumiyah hingga kepada Mutammiman dan Tashil Nail al-Amani
mengenai ilmu nahu, semuanya dalam bahasa Arab. Matn Umm al-Barahin, mengenai
ilmu tauhid. Untuk lebih memantapkan juga diajarkan kitab-kitab tauhid bahasa
Melayu, yang pasti tidak diabaikan ialah Faridah al-Faraid dan ad-Durr
ats-Tsamin.
Kitab fikah bahasa Arab yang pernah diajarkan oleh Haji Abdur Rahman Limbong
ialah Kitab Tahrir dan ilmu tasawuf ialah Hidayah as-Salikin dan ad-Durr an-Nafis
kedua-duanya dalam bahasa Melayu.
Selain mengajar, Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang ulama yang suka
mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri. Soal kewangan untuk mengembara
tidak sukar baginya kerana di mana tempat beliau berpijak, ada saja penduduk
yang mahu menjadi muridnya. Pengembaraan yang dekat dengan Terengganu di
antaranya ialah Beserah, Kuantan, kedua-duanya dalam Pahang. Selanjutnya
Kelantan, Patani, Kedah dan lain-lain.
Negeri-negeri seberang laut yang pernah beliau merantau ialah Sambas, Jambi,
Riau dan Brunei. Di negeri-negeri seberang laut itu juga terdapat murid-murid
Haji Abdur Rahman Limbong.
Pengembaraan beliau ke negeri-negeri tersebut mempunyai kisah yang panjang,
tetapi yang dapat diungkapkan di sini ialah tentang di Sambas dan Kepulauan Riau
saja. Dalam pelayaran di laut, Haji Abdur Rahman Limbong menggunakan perahu
buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan
murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu, bahawa
mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh dimuat
barang-barang antara 100 hingga 350 tan.
Di antara tempat-tempat yang ramai dihuni oleh orang-orang yang berasal dari
Terengganu di Kepulauan Riau yang dikenalpasti ialah di Kuala Maras dalam
Kepulauan Jemaja, Kepulauan Siantan dan Pulau Midai. Di Sambas pula ialah di
Kampung Dungun, Kecamatan Sentebang. Nama Dungun itu diberi oleh orang-orang
Terengganu sebagai mengenang negeri asal mereka, iaitu Dungun di Terengganu.
Nama Dungun itu masih kekal digunakan sampai sekarang. Dipercayai di
tempat-tempat tersebut pernah dijelajahi dan menerima didikan dari Haji Abdur
Rahman Limbong.
Nama Haji Abdur Rahman Limbong saya dengar sejak kecil lagi dari ibu saya, Hajah
Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani ketika beliau menceritakan pembinaan
sebuah masjid di Sabang Barat, Pulau Midai, bahawa bahan utama bangunan ialah
kayu cengal.
Semuanya dibawa dari Terengganu dengan sebuah perahu besar. Bahan-bahan itu
semuanya selesai dikerjakan di Terengganu hanya tinggal pasang saja di Pulau
Midai. Masjid itu hingga tahun 1969 masih berdiri dengan megahnya tetapi
manakala yang menjadi pemimpin pada tahun tersebut seorang yang tidak memahami
nilai-nilai sejarah, masjid itu dimusnahkan lalu didirikan bangunan yang baru.
Nilai sejarah yang masih tinggal hanyalah sebuah mimbar yang dihiasi
ukiran-ukiran. Mimbar tersebut juga berasal dari Terengganu.
Imam yang pertama masjid yang tersebut ialah Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu
Bakar yang mendapat pendidikan di Mekah. Dipercayai Haji Wan Abdur Rahman bin
Wan Abu Bakar berkenalan dengan Haji Abdur Rahman Limbong sejak kedua-duanya
tinggal di Mekah lagi. Selanjutnya Haji Abdur Rahman Limbong juga pernah sampai
di daerah Pulau Tujuh termasuk Kuala Maras dan Pulau Midai yang disebutkan di
atas.
*PEMBERONTAKAN
Zaman dulu dan zaman sekarang sama saja, bahawa orang yang tidak berpihak kepada
kebenaran menyangka yang menang itulah yang benar. Yang kalah itulah disangkanya
salah. Sejarah dunia selalu saja mencatat bahawa penyelewengan dan pengkhianat
sesuatu bangsa atau pun agama apabila dalam perjuangan selalu berpihak kepada
musuh. Tetapi apabila keadaan telah aman, mereka pula yang mengaku dirinya
sebagai pejuang bangsa atau pun pejuang agama.
Dunia Melayu tidak terlepas dari perkara itu. Indonesia berjuang melawan Belanda,
Semenanjung Tanah Melayu melawan Inggeris dan Siam, umat Islam-Melayu Patani
melawan Siam dan umat Islam Mindanao melawan Filipina. Sepanjang tahun 1920
hingga tahun 1928 terjadi gerakan Haji Abdur Rahman Limbong dan rakyat tani di
Hulu Terengganu menentang Inggeris.
Sungguhpun ramai orang Melayu Islam yang menyokong perjuangan beliau melawan
penjajahan Inggeris, namun tidak kurang juga pengkhianat bangsa dan Islam yang
terlalu yakin terhadap penjajah Inggeris. Semua bangsa penjajah yang menjajah
sesuatu bangsa di mana saja di dunia ini sebenarnya adalah tidak sah.
Oleh itu, dalam zaman kita yang telah merdeka sekarang ini, perjuangan Haji
Abdur Rahman Limbong dan beribu-ribu pengikutnya adalah wajar dan sah dari segi
undang-undang dunia. Apatah lagi ditinjau dari pandangan Islam yang mewajibkan
kita berjihad apabila kita dijajah oleh orang-orang yang bukan Islam.
Bagaimanapun sewaktu Inggeris masih sebagai bangsa penjajah di Terengganu,
demikian liciknya H. W. Thomson dan J. L. Humphreys membuat laporan keadaan
menjadi sebaliknya. Kononnya, Haji Abdur Rahman Limbong dan pengikutnya adalah
sebagai penderhaka kepada pemerintahan yang sah.
Akhirnya Haji Abdur Rahman Limbong ditangkap dan dibuang ke Singapura dan
selanjutnya dibuang ke Mekah dalam tahun 1928. Setahun kemudian (tahun 1929 M),
ulama pejuang Islam dan bangsa Melayu itu meninggal dunia. Sejarah mencatat
bahawa sebab-sebab timbul pemberontakan adalah kerana rakyat golongan petani
berasa dirugikan oleh pihak penjajah Inggeris.
Dalam tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi
Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat
dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.
Jika kita berfikir secara bebas dan merdeka, apa haknya bangsa Inggeris
tiba-tiba mengutip cukai dalam negeri Terengganu yang sejak lama telah
berkerajaan sendiri sedangkan mereka hanyalah satu bangsa pendatang.
Oleh sebab itulah, Haji Abdur Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah
bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri.
Mungkin maksud negeri itu adalah yang ada campur tangan penjajah Inggeris.
Haji Abdur Rahman Limbong menegaskan bahawa tanah yang mereka miliki adalah
tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor
bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama. Dari
riwayat ini dapat kita membuat kesimpulan bahawa orang-orang Melayu Islam di
Hulu Terengganu dalam tahun 1920 lagi, di bawah bimbingan Haji Abdur Rahman
Limbong, sudah kenal jati diri, kenal terhadap haknya, kenal terhadap tanah air,
dan kenal terhadap bangsa sendiri.
Oleh itu, bangsa penjajah Inggeris yang cuba campur tangan dalam pentadbiran
tanah wajib dilawan. Kita patut mengucapkan jutaan terima kasih kepada ulama
seperti Haji Abdur Rahman Limbong yang telah membuka mata putera-putera bangsa
mengenali ajaran Islam yang sebenar sekali gus bangsa Melayu Islam adalah
mempunyai harga diri jangan dapat ditipu daya oleh bangsa penjajah